Kebebasan Kewangan – Financial Freedom

Kebebasan kewangan atau dalam bahasa inggeris disebut financial freedom. Apakah itu kebebasan kewangan? Mengapa ramai yang menetapkan ‘kebebasan kewangan’ sebagai matlamat dalam membuat pelaburan? Dalam bahasa mudah yang saya faham, kebebasan kewangan adalah satu masa yang kita mempunyai simpanan, pelaburan ataupun tunai di tangan yang cukup untuk menampung kehidupan harian tanpa perlu untuk bekerja secara aktif.

kebebasan kewangan

Kebebasan Kewangan

Kebebasan kewangan bukanlah bermaksud mempunyai kemewahan untuk membeli apa sahaja atau melancong di mana-mana sahaja tetapi lebih kepada untuk menampung keperluan asas untuk hidup. Jika ketika ini kehidupan saya memerlukan RM5,000 sebulan untuk menampung kehidupan, jadi untuk mencapai kebebasan kewangan simpanan atau pelaburan saya mestilah mampu untuk memberikan saya RM5,000 sebulan sehingga akhir hayat saya.

Berapakah simpanan yang perlu?

  • Kiraan mudah jika saya berumur 60 tahun sekarang.
  • Anggaran purata jangka hayat rakyat Malaysia katakan 85 tahun
  • Secara mudahnya umur saya berbaki 25 tahun.
  • RM5,000(kos bulanan) x 12(bulan) x 25(tahun) = RM1.5juta

Jadi untuk mencapai kebebasan kewangan simpanan saya mestilah ada RM1.5juta. Tetapi sebenarnya pengiraan sebenar jauh lebih rumit kerana ada beberapa pembolehubah lain yang perlu diambil kira. Contohnya inflasi, kadar dividen simpanan dan lain-lain lagi.

Strategi Mencapai Kebebasan Kewangan

Jadi apakah strategi saya untuk mencapai kebebasan kewangan ini? Rasanya perjalanan untuk mencapainya bukanlah mudah. Perlukan komitmen berterusan, berkorban untuk mengawal nafsu dalam berbelanja dan masa untuk mencapainya. Buat masa ini saya fokus kepada pelaburan. Melabur bukanlah skim cepat kaya seperti yang saya anggap ketika muda-muda dahulu. Dulu cukup anti dengan melabur ni. Takut rugi, takut kena scam dan macam-macam lagi cerita buruk tentang malabur.

Saya ringkaskan pelan saya ke arah kebebasan kewangan dalam 5 langkah:

Langkah 1: Bina tabiat amalan menyimpan atau menabung.

Menyimpan atau menabung adalah asas kepada kebebasan kewangan. Jika kita tidak mampu untuk menyimpan maksudnya gaji atau pendapatan yang kita terima adalah kecil ataupun kita berbelanja sama dengan pendapatan yang diterima.

Jika pendapatan kecil, memang sukar untuk menyimpan kerana rasanya pendapatan yang diterima digunakan untuk membayar sewa, bil-bil, makan minum dan keperluan asas yang lain. Jadi jika pendapatan adalah kecil, perlulah berusaha untuk menambah pendapatan supaya mampu untuk menyimpan.

Namun jika pendepatan besar, anda boleh menyimpan dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Contohnya jika kerap makan luar, mungkin boleh kurangkan dan rajinkan diri masak di rumah. Jika suka berbelanja untuk membeli benda-benda yang bukan keperluan, boleh cuba kurangkan. Jika ada kenaikan gaji setiap tahun boleh cuba kekalkan gaya hidup sedia ada dan kenaikan gaji itu disimpan.

Langkah 2: Bina dana kecemasan 3 – 6 bulan gaji atau perbelanjaan semasa.

Setelah ada tabiat menyimpan, langkah seterusnya ialah untuk membina dana kecemasan lebih kurang 3 – 6 bulan gaji atau lebih. Maksudnya kita mampu meneruskan kehidupan jika tiba-tiba terjadi musibah dan tidak mendapat gaji. Dengan adanya dana kecemasan ini sekurang-kurangnya kita mampu untuk mencari jalan selesaikan masalah ini.

Jika kereta rosak, awal tahun perlu bayar yuran sekolah anak, boleh guna dana kecemasan untuk sedikit sebanyak mengurangkan beban itu. Namun setelah guna dana kecemasan berkurang pastikan tambah kembali untuk mencapai 3 – 6 bulan gaji.

Di mana hendak simpan dana kecemasan ini? Pastinya bukan di bank yang memberikan pulangan yang rendah. Bagi saya eloknya dana ini disimpan di tempat yang mudah untuk kita cairkan, beri pulangan yang baik dan selamat. Antara tempat yang saya cadangkan ialah di ASB atau Tabung Haji. Simpanan yang mudah diambil jika memerlukan, memberikan pulangan yang baik 5%(ASB) dan 3.5%(Tabung Haji) dan selamat kerana dijamin oleh kerajaan.

Ataupun jika inginkan pulangan harian boleh cuba simpan di Money Market Fund seperti di Moomoo atau versa cash-i. Jika anda simpan RM10,000 pulangan harian dalam RM1. Setiap hari terima duit dari simpanan boleh membakar semangat untuk terus menyimpan.

Langkah 3: Kurangkan hutang secara beransur-ansur.

Rasanya kebanyakkan orang akan berhutang. Beli kereta hutang, beli rumah hutang. Ada sahabat saya tiada hutang bank untuk beli rumah tapi berhutang dengan ibu bapa. Tetap juga dipanggil hutang cuma hutang ini tanpa faedah.

Seiring peningkatan usia seeloknya kita cuba untuk kurangkan hutang yang ada terutama sekali hutang yang tinggi faedah seperti hutang kad kredit, hutang peribadi. Sekarang saya juga sedang berusaha untuk tidak tambah hutang baharu. Apa yang kita dapat dengan berhutang untuk memiliki iphone model terbaharu? Rasa seronok, teruja hanya sementara. Rasa sengsara bayar hutang bertahun lamanya kerana saya sudah merasai pengalaman tersebut. Telefon biasa pun sudah memenuhi kehendak saya. Cabaran saya sekarang ialah kereta. Kereta sudah berusia 10 tahun. Tengah rambang mata dan geram je nak tambah hutang beli kereta baharu. Rasanya akan terbeli juga nanti…

Kesimpulannya kebebasan kewangan dicapai tanpa hutang ataupun tiada hutang dengan faedah yang tinggi. Mungkin hutang yang ada hanyalah hutang rumah atau kereta.

Langkah 4: Melabur dengan konsisten.

Ini adalah langkah untuk menggandakan wang anda. Tetapi tersilap langkan boleh mengurangkan wang anda. Jadi kaedah melabur dan tempat melabur adalah penting. Sekarang banyak banyak jenis pelaburan yang ada seperti saham, kripto, emas,… serta banyak platform yang boleh digunakan seperti moomoo, webull, dan lain-lain.

Namun pemilihan saham sememangnya sukar dengan peluang untuk rugi itu ada. Jika anda tidak selesa dengan kerugian boleh melabur tempat berisiko rendah seperti di ASB, Tabung Haji dan yang seangkatan dengannya.

High risk high reward. Jika anda sanggup mengambil risiko bolehlah cuba untuk melabur di saham yang boleh memberikan pulangan yang jauh lebih tinggi. Anda boleh kurangkan risiko rugi dengan membeli exchange-traded fund (ETF). ETH ini adalah gabungan beberapa saham dalam satu bakul.

Langkah 5: Pastikan segala hutang diselesaikan sebelum capai kebebasan kewangan.

Langkah terakhir untuk mencapai kebebasasn kewangan dengan tenang ialah dengan selesaikan segala hutang yang ada. Tiada hutang hidup tenang. Ketika sudah mencapai kebebasan kewangan, boleh teruskan hidup dengan lebih tenang tanpa perlu fikirkan kerja-kerja pejabat dan juga hutang. Jika bosan boleh bercucuk tanam dan menjual hasilnya. Jika hobi anda ialah programming, design boleh ambil upah sebagai freelance. Minat menulis boleh cuba buat buku dan pasarkan. Minat berjalan atau melancong boleh buat video travelog dan post di media sosial/youtube. Konsep disini ialah bekerja sebab kita hendak bekerja bukannya bekerja kerana terpaksa untuk menampung kos hidup. Harapnya saya boleh mencapai kebebasan kewangan sebelum 2036.

Kesimpulan

Kesimpulannya objektif kebebasan kewangan saya bukanlah untuk hidup mewah tetapi lebih kepada hidup dengan lebih tenang tanpa terikat dengan urusan kerja pejabat. Secara jujurnya buat masa ini motivasi kerja saya semakin berkurang. Rasanya dahulu saya minat dengan kerja ini tetapi sekarang banyak terpesong untuk selesaikan kerja-kerja sampingan sehingga terasa kerja sampingan itu lebih banyak dari yang hakiki. Mungkin kena jumpa kaunselor untuk minta nasihat. Apakah sasaran simpanan anda untuk mencapai kebebasan kewangan? Tetapkan matlamat dan bersama-sama saya berusaha untuk mencapainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *